Thursday, August 29, 2013

Epidural : Awesome sangat ke?

Sebelum anda semua baca artikel ni dengan lebih lanjut lagi sayugia di ingatkan artikel ini bukanlah ditulis oleh seorang doktor (wpun dulu kecik2 setiap kali cikgu tanya cita-cita mesti jawap doktor he he). Saya sekadar kongsi pengalaman mengambil epidural ketika bersalin anak yang ketiga. Semestinya pengalaman setiap ibu yang melahirkan adalah berbeza-beza termasuklah kesan penggunaan epidural.

Saya hamil anak pertama ketika berusia 26 tahun. Saya pernah terbaca di internet kehamilan pada ketika usia ini adalah amat baik kerana di katakan hormon ibu berada tahap yang baik matang dan sihat. Bahkan lagi potensi melahirkan anak yang cerdik lebih tinggi - wallahuallam. Saya pun tkde la merancang bagai untuk dapat mengandung pada usia 26 tahun segalanya ketentuan dari Ilahi.

Anak sulung saya  perempuan lahir lewat seminggu dari yang dijangkakan. Anak kedua pulak lahir setahun kemudian he he..terlajak le tp alhamdulillah saya dapat baby boy yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli keluarga saya. Kalau kakaknya lewat seminggu adik pulak awal 3 minggu. Saya bersalin di hospital swasta dan ditemani en suami dari mula sampai la selesai wpun dia mengaku takut tgk darah.

Saya ni jenis nak bersalin takde keluar tanda apa darah ke ketuban pecah ke takde. Semuanya nasib baik saya je bila pegi ke hospital untuk check up minggu-minggu akhir tu doktor yang detect sudah ada contraction dan bila di seluk dah 3-4 cm. So terus kena tahan wad. Masa anak yang sulung tu saya warded petang lebih kurang pkl 5. Anak sulung kita pun tak berani bantah apa doktor cakap ikut je la. Tapi saya punya progress slow dah buka 3cm tu sampai subuh esoknya camtu jgk la. Saya boleh solat subuh jemaah ngan suami lagi masa tu. So lepas breakfast saya ngan suami dok borak-borak cam takde apa mmg masa tu saya dah kat labor room. Doktor 2@3 kali masuk tgk saya ok je sengeh gelak-gelak tiap kali dia masuk mesti tanya awak tak sakit lagi ke. Cuma yang saya tak suka saya ni asyik nak kencing rimas betul la. Saya selamba je nak p tandas tp nurse tak bg dia kata nak kencing panggil diorang nanti dia pasangkan tiub then diorang tadah. Itu yang saya tak bekenan tu malu asyik tekan loceng panggil diorang sbb nak kencing. Lagi satu tiap kali doktor datang dia nak seluk ayoyo I hate this!!

Saya ingat lagi doktor yang pecahkan air ketuban saya ... lepas tu hermm bermula la episod aduh duh duh nya. Saya diberi gas etanox untuk kurangkan rasa sakit tapi sakit jugak la wei. Cumanya boleh la tahan boleh la ditahan-tahan sebenarnya ha ha.. Kata nurse yang kat saya tu saya ni jenis tahan sakit sebab takde terpekik terlolong mcm orang lain. Kekdahnya saya ni mengaduh duh tu pun dengan sopan santun lagi ha ha.

Anak yang kedua pun lebih kurang sama. Takde tanda apa lagi la awal 3 minggu barang pun ada yg tak ready lagi. Tapi since dah ada pengalaman so saya ada la buat keja memandai-mandai sikit kali ni. Bila doktor nak tahan saya petang tu saya kata saya nak datang esok. Confident je kan doktor pulak yang cuak. Dia siap tanya berapa km jarak umah dgn hpital. Siap pesan sakit je datang terus. Malam tu saya boleh tido lena yang tak tido suami saya dia kata kejap-kejap dia bangun tp hampeh tgk saya tido sedap je. 

Esok pepagi saya pegi hospital. Dalam kul 11 dah kena sorong ke labor room tapi sampai ke petang baru bersalin nya. This time mmg seingat saya doktor tak bagi apa-apa gas ke apa ke untuk kurangkan sakit. Dah la orang kata bersalin anak lelaki ni lagi sakit. Saya pulak dua-dua anak doktor pecahkan ketuban dan doktor drip induce sebab nak bagi cepat. Encik suami takleh dok diam la kat sebelah sapu air selusuh la picit sana picit sini cakap itu cakap ini tp rasa semua dah tkde makna dah masa tu sakit je la yang kita rasakan. Tabiat saya yang kuat kencing time menunggu nak bersalin ni sama je anak kedua camtu jgk la. Nurse pun hairan tp dia kata setiap kali saya panggil diorang memang pundi kencing saya penuh so bukan saya tipu. 

Tang kencing tu saya tak tipu tp ada satu part saya tipu. Disebabkan saya tak bekenan asyik kena seluk makanya bila doktor datang nak seluk saya kata dah td nurse dah seluk baru 6cm. Suka-suka saya je kan jawap cam gitu. So doktor tak seluk lah. Kemudian tak berapa lama tu doktor tukar shif doktor baru masuk je dia terus seluk apalagi menjerit la dia dah 8cm lebih katanya terus dia panggi nurse. Semua kalut la weh doktor tu siap cakap kenapa boleh jd macam ni. Dalam hati ku tahu puncanya. Lain kali jangan nak memandai yani nasib tak beranak je klu tidak harus suamiku pengsan tadi. Lagipun mcm nurse dulu pernah cakap saya ni jenis tak terpekik terlolong bertahan je so diorang ingat belum lagilah sebab yang lain tu makin dekat nak bersalin makin kuat mcm-mcm yang keluar.

Lepas dapat anak yang kedua saya rehat panjang. Bukan apa dapat anak setahun sorang ni dah cam kembar. Ambik bibik pun bibik lari. Hajat di hati malas dah saya nak beranak tapi en suami saya tu hari-hari dok memujuk dikecek-keceknya saya last-last mengandung jugak lah. Mengandung anak ketiga umur dah 35 serba serbi malas je rasanya. Masa dekat -dekat nak bersalin tu suami tanya saya nak ambik epidural tak. Agaknya dia sian kat isteri dia ni dah tua nak kena bersalin lagi hihi. 

Saya search gak internet tanya doktor semua kesan epidural. Maklumat yang saya dapat banyak memihak kepada supaya saya mencuba. Dulu masa bersalin anak pertama dan kedua saya ambik wad sorang-sorang so bayaran mahal sikitla. Masa nak bersalin yang ketiga ni anak saya yg sulung dalam minggu peperiksaan Walaupun mak dan abah saya ada saya sian kat dia. Saya kata kat suami saya nak masuk open ward je lah so dia tak payah tunggu saya. Kalau ambik wad sorang-sorang saya ni penakut kena ada orang teman. Anak-anak nak sekolah tak boleh la pentingkan diri. So masuk open wad murahlah. Jadi duit lebihan yang ada tu saya buat bayar ambik epidural.

Just nak share sesiapa yang berhajat nak epidural bagitau doktor awal-awal sebab prosedurnya diorang kena panggil doktor pakar bius dulu. Kalau dah tengah sakit sangat tu baru nak minta takde makne nya dah mmg kirim salam le. So lepas saya dah dimasukkan epidural tu saya pun dok baring relak-relak cam biasalah. Borak-borak ngan suami diapun bawa majalah suratkhabar bagai. Kali ni takde apa yang dia nak kalut sebab saya diam je tak rasa apa la katakan. 

Sesekali doktor datang check doktor seluk pun tak rasa apa...wah awesome!! nak cakap je seluk berapa kali pun takpa seluk la seluk la ha ha. Penyudahnya saya tertidur en suami pun tidur jgk kot sedar-sedar doktor kalut-kalut kata saya dah ready utk deliver. Memang ikut je lah arahan doktor dia suruh push kita push suruh stop kita stop. Takde masalah dengan arahan tu follow je tau-tau dah beranak. Seperti bersalin anak no dua saya langsung tak kena jahit pandai awak beranak tak koyak kata doktor. Saya ikut petua kakak saya bagi jangan asyik nak pegang tangan suami pegang pergelangan kaki kita sendiri. So masa nak push tu bontot takkan terangkat jadi tak la koyak.

Cuma lepas transfer masuk wad biasa saya muntah dan tumpah darah. Saya tak pasti itu kesan epidural atau apa. Kata doktor ada darah beku yg tak habis keluar. Jadi dia seluk berulang kali untuk keluarkan semua darah beku. Doktor kata nasib jugak saya ambik epidural kalau tidak mmg sakit la diseluk-seluk macam tu. Bila saya sembang-sembang dengan org lain biasa jugak yang muntah dan tumpah darah lepas bersalin walaupun tak ambik epidural.

Sampai sekarang ketika artikel ini ditulis anak saya dah nak masuk 5 tahun. Setakat ini alhamdulillah saya tak mengalami kesan-kesan sampingan menggunakan epidural seperti yang pernah saya baca antaranya sakit belakang dan sakit kepala. Dan kalau ada yang bertanya best sangat ke epidural saya pasti akan jawab AWESOME!! - nak suruh beranak lagi pun boleh. Memang bestlah. 

TETAPI saya sarankan la bg yang kali pertama bersalin cubalah kaedah biasa dulu rasailah bagaimana susahnya ibu kita melahirkan kita then only next you go with epidural.

Wednesday, August 28, 2013

Aku dan gajet

Amboi tajuk bukan main lagikan tapi saya ni sebenarnya satu habuk gajet pun takde kah kah kah!.

Saya rasa boleh la korang kategorikan saya ni ketinggalan zaman. Handphone saya pun cap nokia@cokia je internet pun saya tak masuk kan kat hp tu so whatsapp ke apa ke jangan tanya lah ye. Ermm...agak-agak ada lagi ke yang spesis macam saya ni ye?

Memanglah kadang rasa ketinggalan tapi saya mmg tak minat ngan gajet2 ni tak pernah rasa teruja pun. Ada jugak rasa susah takde internet kat hp tp saya lebih takut tak dpt kawal diri. Maklum la dah kita ada access yg mudah so nanti leka layan benda tu je. Anak depan mata terkulat-kulat mengharapkan belaian kita. Saya tujukan ayat  ni utk ingatkan diri sendiri. Sebab biasa dah kita tgk kat restoran contohnya mak bawa anak-anak makan. Duduk je kat meja mak terus on fb saya mmg cukup menyampah tgk situasi ni. Anak-anak melopong mak tersengeh-sengeh sengsorang. Belum lagi makanan sampai anak nak makan pun marah selagi tak ambil gambar. Dah ambik gambar sibuk pulak nak upload lepas upload sibuk pulak layan komen itu ini tanya pasal makanan sedap ke kat mana mahal ke bla bla bla..Masa berkualiti dengan anak-anak hilang begitu saja.

Macam saya ni lagi la bisnes woman la kononkan so bz memanjang jadinya kalau boleh balik rumah tu nak ngadap muka anak-anak ngan suami le tanpa gangguan. Saya buat bisnes online so inbox saya mmg selalu penuh ngan komen dan pm bertanyakan barang. Kalau saya on internet kat hp mmg jawabnya saya dok melekat berkepit ngan hp je lah. Kat rumah bukan saya tak layan fb blog ke apa saya layan jgk tp lepas anak-anak semua dah masuk tido and kalau en suami p keluar ngeteh ngan geng jiran. Saya guna laptop je lah. Mata saya ni pun mmg tak suka tgk skrin kecik nyampah je saya klu tgk fb kat hp lebih puas guna laptop. So takde sebab yang kukuh untuk saya perlukan hp gajet-gajet yang canggih.

Ada jugak kata saya ni kedekut tp mungkin belum masa yang sesuai dan belum begitu mendesak sangat. Lagi pun dah saya ngan suami pun sehati sejiwa tak suka benda-benda ni jadi tak kisah sangat lah.Cuma mungkin dari segi imej la dah kami berdua ni bisnes tp pakai hp cokia je. Teringat saya sorang kawan citer kat saya dia ada 2 hp satu cokia satu blackberry. So blackberry tu hp yg dia pegang dia letak atas meja kalau jumpa client tp dia pun tak berapa pakai hp tu kah kah kah..yang dia pakai hp cokia dia tu je...Ermmm maybe kami pun kena buat cam tu kot ha ha ha

Tuesday, August 27, 2013

Yang ditunggu dah tiba

Lama dah saya nakkan benda ni. Kekangan masa menyebabkan saya tak mencarinya sungguh-sungguh. Tapi orang kata kalau dah jodoh bertemu jugak he he..ntah apa-apa la yani. Iye-iye citer sampai ke jodoh. Sebenarnya benda ni la yang saya dok cari-cari mengidam nak lama dah ni

Ni rupanya acuan roti jala 3 lubang. Selama ni saya dok amazed bila tgk rupa paras roti jala yang berbeza dari yg biasa kita dok buat tu. Saya wonder camna la blh jadi rupa tu. So pada suatu hari bila saya jump dari satu blog ke satu blog saya terjumpa blog yang ada jual acuan ni. Memang pucuk di cita ulam mendatang lah kan. 

Kalau ada yang berminat ngan acuan ni boleh tgk kat blog Dapur Kak Jee. Saya baru je terima benda ni so belum sempat pun nak "mengetest" nya. Excited punya pasal terus update kat blog he he..nanti lah kalau dah siap roti jalanya boleh la tayang kat sini.

Asam Pedas untuk ibu mengandung

Nak citer sikit..saya ni adik beradik semua perempuan sembilan orang semuanya diulangi 9 orang ye :))

Daripada mak saya dia pun 5 beradik semua perempuan. Sampai ke kami 9 beradik dan cucu-cucu abah saya pun perempuan semuanya kecuali saya dapat sorang anak lelaki (itupun alkisahnya "teraccident" -kira accident paling berjayalah ye). Takat ni dia je lah hero yang ada adik-adik saya yang baru kawin baru bersalin pun semuanya dapat anak perempuan.

Terbaru adik saya mengandung tapi kami belum tau lagi jantinanya. Bulan posa hari tu dia bgtau saya nak makan asam pedas. Alamak ibu mengandung dah ngidam le he he..saya suka je dengan permintaan dia tu. Tapi saya cakap kat adik, saya ni kalau masak asam pedas kena rasa-rasa dulu cukup ke tak asam garam baru berani hidang (almaklum org tak pro cam gini lah ha ha). Kalau makanan lain berani je campak-campak masak tak payah rasa. So saya kata nanti tak posa saya masakkan untuk dia.

Jadinya ahad lepas saya beli ikan pari. Saya buat asam pedas tiru-tiru orang je takde berguru ngan sesapa. Sama je lah cam org lain buat cuma saya suka masukkan halba campur. Saya rasa cam orang Perak je suka buat masuk halba campur ni. Bila masuk halba campur dia ada aroma yang lain selain bau daun kesom dan bunga kantan tu. Halba campur tu saya tumis sekali ngan bahan yg saya blender - bawang besar sebiji bawang putih 2 bj kunyit hidup skit dengan belacan skit. Dah tumis agak garing saya masukkan cili kering yang dah di blender. Ikut petua orang johor masak lama cili ni biar masak betul-betul baru tak sakit perut walaupun cili sebenban kita dah boh dalam asam pedas tu. 

So saya tumis biar lama-lama tambah air sikit-sikit tak nak bagi hangus. Dah agak confident baru saya masukkan air kemudian ikannya. Then masukkan bendi. Adik saya pesan dia nak bendi banyak memang banyak jgk la saya bubuh bendi. Kemudian saya masukkan bunga kantan. Dah nak agak lembut bendi saya masukkan daun kesom asam jawa gula garamnya. Last sekali baru saya tambah tomato.Siap!!

Saya kalau ngan asam pedas ni makan nasik ngan kuah je pun jalan hirup-hirup camtu sebab tu saya buat kuahnya banyak seperiuk beso tu. Tapi sorry la bab ambik gambo ni saya selalu lupa sebab mmg dari dulu saya ni bukan jenis suka ambik-ambik gambo. Cuma bila dah berblog ni saya rasa dry je kan klu citer resepi takde gambo. So nanti lah bebila masak saya ambik gambo nya. 

Tapi untuk tidak menghampakan ni saya tayang gambar kami adik beradik daripada 9 tinggal 8 sorang kakak dah meninggal masa kecil.


Saturday, August 24, 2013

Resepi Ayam Madu marbeless

Resepi ni saya dapat dalam Majalah Saji ditulis oleh chef selebriti Chef Kamarul. Memang sedap sebab kita guna banyak madu berbanding dengan di restoran lebih banyak gula dan hanya sedikit sahaja madu yang digunakan. So saya tuliskan semula resepinya di sini sebab nak memudahkan saya kalau nak masak. Untuk makluman berlambak majalah saji kat rumah saya. Jenuh nak selak satu -satu cari resepi. Bila dah tempek resepi kat sini senang je lah nak carikan.

Bahan-bahannya.

1 ekor ayam
2 sudu besar rempah kari ayam
1 sudu besar serbuk kunyit
6 ulas bawang putih
2 inc halia
2 labu bawang besar
2 sudu besar cili kering kisar
5 sudu besar madu
1 sudu besar gula merah
2 sudu besar puri tomato
garam

Cara memasak
1. Tumbuk halia dan bawang putih. Gaulkan bersama kunyit, rempah kari dan perasakan dengan garam.
2. Perap ayam dengan campuran tersebut selama 2 jam
3. Kemudian goreng ayam hingga masak. Lebih dari bahan perapan jangan dibuang gunakan sebagai bumbu kuahnya nanti.
4. Kisar bawang besar dan tumiskan. Masukkan lebihan bahan perapan beserta cili kisar dan masak hingga garing.
5. Masukkan gula, madu, puri tomato dan kacau. Masukkan sedikit air dan kacau lagi.
6. Apabila kuah mendidih dan sudah pekat masukkan ayam.
7. Masukkan sebiji bawang besar yang sudah dipotong bulat biarkan layu dan hidangan sedia di angkat.

Thursday, August 22, 2013

Sepasang kurung biru








...takde apa saje nak tayang baju raya pertama kami he he. Yang atas sekali baju saya, no 2 tu baju anak dara saya yang baru darjah 6 tu udah beso dia dari saya, no 3 baju si kecik 5 years tu , no 4 baju anak boy saya, yang ke 5 baju suami tercinta last sekali tu tudung rafeeda saya hik hik bukan fareeda ye tp ramai pulak yang menanya tudung fareeda ke

Ada yang tanya kat saya berapa budget untuk beli baju raya. Jawapan saya berkadar terus dengan kepayahan saya untuk mencari baju yang sesuai. Maksudnya kalau dah try banyak baju tak dapat-dapat jugak bila jumpa je yang sesuai mokcik rembat je la ye. Rules memilih baju raya dalam family saya adalah cari baju raya saya dulu baru baju orang lain. Ini peraturan bukan saya yang buat tapi encik suami saya yang kasi. Dia kata klu beli baju orang lain dulu nanti kalau saya tak jumpa baju yg bekenan sesuai ngan saya lagi haru. So tiap-tiap tahun saya akan merayau-rayau sorang diri cari baju saya dulu. Biasa kami beli yang dah siap. Saya bab pilih kain yg belum siap mmg out. So jgn ambik risiko tp kurung biru tahun ni kain beli kat jiran saya cantik pulakkan he he. Lagi satu kami jarang menempah sebab takut baju tak siap. Ohh I hate this dah terkena meraban teben cari baju sehari sblm raya. Dalam kata taknak menempah tahun ni anak dara saya tu nak baju peplum tempah jugak la end up baju peplum jd baju problem tak siap pun kena jgk cari baju lain untuk dia. 

Tapi tak tau la kenapa dalam banyak-banyak lagu raya judul Sepasang Kurung Biru ni cam nostalgia la sentimental syahdu je rasanya. Agaknya sebab zaman-zaman sekolah dulu saya suka sangat warna biru. Kenangan zaman sekolah memang memori indah segar dalam ingatan kitakan.


Selamat Hari Raya Aidilfitri dari saya sekeluarga, maaf zahir batin ..hingga ke temu di tahun hadapan insyaallah.

Wednesday, August 21, 2013

Selamat Pengantin Baru Bibik - edisi tak jadi-jadi

Pembantu rumah yang ada ngan saya sekarang ni dah nak masuk tahun kelapan dengan kami. Satu tempoh yang agak lama kira koloborasi paling berjayalah. Lama sebelum saya ambik dia saya pernah jugak ambik sorang bibik. Masa tu dapat yang muda belia Suzie namanya. Pasal apa boleh ingat nama dia sbb glamer beno namanya memang itu nama dia dalam pasport and permit tau. Tapi dapat je duit gaji lesap di hari pertama saya mula nak kerja lepas saya habis pantang. Memang menguji kesabaran. Time kita dok benpantang kat rumah tu takde dia nak lari kita nak mula kerja pulak buat hal. So lepas tu saya tak jadi ambik bibik anak hantar rumah pengasuh je.

Bibik saya yang kedua ni saya ambil masa dah dekat nak puasa. Memang saya susah hati time tu sbb saya baru je berbisnes - tukar profesion dari lecturer jadi makcik kantin kuang-kuang kuang. Bisnes saya pulak time tu tengah meletup-letup gitu. Memang saya sangat perlukan maid. So saya berdoa bersungguh-sungguh pada Allah minta pembantu rumah yang sesuai dan serasi dengan kami. Anak saya setahun sorang masa tu yg tua umur 4 tahun adiknya 3 tahun tengah melasak sangat org Perak kata ngelejat tak reti dok diam. Doa saya dimakbulkan. Memang syukur sangat-sangat kalau tak ok tak kan dia boleh ada ngan kami hingga ke hari ini.

Ramai yang kata saya beruntung dapat bibik yang ok. Ye memang dia ok dan saya tau saya pun majikan yang sangat ok untuk dia. Dia tau apa keja yang patut dia buat - dalam sebulan jadualnya teratur. Basuh telekung, tukar cadar, tukar langsir lap barang hiasan vantage saya, lap kipas, lap tingkap cuci grill tingkap, anginkan kusyen sofa semua tu saya perhatikan dia tetap buat selain kerja-kerja harian. Dan saya sedari mula ambik dia wpun kerajaan masa tu belum ada apa2 cadangan untuk bg cuti kepada bibik saya mmg bg dia cuti-cuti bergaji ok. Setiap kali dia balik ke Indonesia pun kami biaya tambangnya wpun itu takde dlm kontrak. Saya tak pernah paksa dia tidur lewat klu dia rasa nak tidur tidurlah. Saya juga tak pernah tetapkan pukul berapa dia kena bangun tp saya tau dia mmg bangun awal. Kalau ada saudara mara dia yang sakit di sini dia nak melawat saya hantarkan. Pernah dia minta kebenaran untuk jaga saudaranya yang kena denggi di hospital saya izinkan. Siap saya bekalkan dia makanan lagi. Jadi kalau dia nak derhaka jugak tu tak tau la nak kata.

Sejak akhir-akhir ni dia kerap jugak melahirkan keinginan untuk berkahwin. Saya kata kalau dah jodoh takkan saya nak halang. Tapi sebenarnya dalam hati saya ni tuhan je yang tau memang bikin gawat je ni. Serabut jugak kepala saya. Nasib la dia tak cakap ni masa zaman saya jadi makcik kantin dulu kalau tak lg lah huru hara saya. Lama selepas dia bgtau tu saya tunggu-tunggu jugak la bila dia nak kawinnya tapi dia pun senyap saya malas la nak tanya - tak jadi lagi bagus he he. 

Then pada satu petang dia cerita kat saya. Katanya " ibu nasib baik saya tak jadi kawin . Yang nak dijodohkan dengan saya itu pukul isterinya sampai masuk hospital. Hisap dadah sama main judi jugak".

Hah saya pun apa lagi masuk jarum la.."Itu la bik bukan saya tak bagi bibik kawin tapi fikir masak-masak. Kalau kahwin tu menyenangkan hidup bibik ok la tapi kalau dapat yang macam itu sapa yang susah. Ambik masa sikit cari yang betul-betul".

Saya ingat citer kawin stop kat situ. Tup-tup dia kata "ibu saya nak ada majlis".

Kali ni mcm dah iye-iye je dia nak kawin sbb dah plan ada majlis. So hujung minggu tu saya pun wish la Selamat Pengantin Baru Bibik siap bagi duit hadiah kahwin lagi. Kebetulan saya nak balik kampung seminggu. Jadi boleh la dia honeymoon sekali ha ha.

Bila saya balik dari kampung saya pun tanyalah dia macam mana bik suaminya di mana. Dia bgtau tak jadi kawin sbb pengantin lelaki tak sihat. Tunda dulu sampai betul-betul sihat. Tapi lama jugak saya tgk takde pun bibik ni bagtau nak kawinnya bila. End up dia cakap kat saya. "Yang ini pun ibu nasib saya tak jadi kahwin". La nape pulak.. sian pulak saya kat bibik saya ni dah iye-iye nak kahwin tak jadi mesti la patah hatikan. "Kalau saya kahwin dengan dia saya disuruh balik indon jaga cucu-cucunya di sana". 

Memang ada hikmah sebab dia masih bekerja dengan saya renew permit pasport semua saya dah buat untuk dia. Dia fikir senang je nak kahwin tak taunya kita dah keluarkan kos untuk bolehkan dia duduk sini secara sah. Esok-esok dah kawin cakap suami tak ijinkan la macam-macam alasan keluar. Saya serahkan pada Allah segala-segalanya. Memang pun saya kena bersedia takkan selamanya dia dengan kami.

So sampai sekarang tak kahwin lagi la bibik saya tu :)))

Tuesday, August 20, 2013

Resepi Ayam Goreng Berempah

Walaupun masih dalam mood raya tekak saya macam dah tak larat nak makan lemang rendang lontong nasi minyak semua tu. So ahad lepas saya dah plan nak masak gulai lemak nenas ikan masin gu dia nak buat sambal udang petai.. walaweh sedapp kan.





Ni apa pulak citer pasal ayam berempah keluar gambar lain kah kah kah. Actually ni gambar kami untuk album raya tahun ni belum edit lagi. Saya rampok dari fb sepupu saya. Oleh kerana raya tahun ni tak bergambar famili langsung rasa ralat la pulak. Saya call sepupu saya Syahril Azam photographer tanya boleh tak dia datang buat fotoshot utk kami. Sembang punya sembang dia setuju datang hari Ahad. Saya pun invite dia lunch kat rumah saya.


Bila ada tetamu nak datang saya kena fikir kesesuaian menu ngan tetamu. Kena cari yang agak-agak boleh diterima tekak semua orang. So ayam la kan biasanya majoriti akan makan ayam. Selain dari menu asal saya decide nak tambah menu ayam goreng berempah. Sambal udang petai saya tukar sambal bilis je sebab kadang ada org tak makan udang allergic ada yang tak suka petai sebab bau dia yang "semerbak" tu kan.

Saya ni bukan apa orang kata belajar dari pengalaman. Terkena beberapa kali sediakan menu yang tetamu tak makan. Kita takkan nak tanya makan udang tak makan daging tak makan kuih ke makan berat-berat ke. So sedapat yang boleh bila orang datang sediakan menu yang agak-agak semua orang makan.

Eh! panjang pulak ceritanya so ni resepi Ayam Goreng Berempah

1 ekor ayam
3 labu bawah besar
1 sd besar ketumbar
1 sd besar jintan manis
1 sd besar jintan putih
Serai 3 batang
Rempah kari- agak-agakla ye
Garam
Kunyit
Gula
Sos tiram

Cara-caranya
1. Blender bawang dan serai 
2. Blender kering ketumbar, jintan manis jintan putih 
3. Kemudian gaulkan semua barang yang telah diblend dengan ayam. 
4. Tambahkan serbuk kari, kunyit ,garam, gula sos tiram dan gaul sebati.
5. Perap ayam nak perap semalaman pun boleh 3-4 jam pun boleh 2-3 jam pun boleh cumanya kalau perap kejap sangat kurang berasalah.
6. Sewaktu hendak menggoreng ayam taburkan sekali daun kari dalam setiap gorengan.

Petua@tips
kalau dah boring dengan ayam goreng berempah ni kadang saya pakaikan baju kat ayam tu he he..saya balut dengan daun pandan selepas semua bahan digaul sebati. Perap lah macam biasa hasilnya sedap dan menarikkan.

Sesekali jumpa Mazidul Akmal Sidek - Part 1

Mazidul Akmal Sidek sapa yang tak kenalkan. Pendedahan beraninya sama ada di kaca tv ataupun dalam tulisannya di blog boleh buat ramai yang panas bontot. Dia takde la kenal saya saya je kenal dia ha ha..

Kali pertama bertemu live dengannya masa saya jadi tenaga pengajar di sebuah kolej di ibu kota. Masa tu kolej dalam persiapan untuk perasmian dan tetamu VIP nya Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai. Dah ketua polis negara yang mai persiapannya pun kena mai la jugak kan. Macam-macam kerja lah kami kena buat time tu. Kerja saya masa tu byk pulak kena berurusan dengan PA Tan Sri sbb melibatkan protokol dan aspek keselamatan. But that was really a great experience baru saya tau ooo macam ni oooo macam tu. Melopong je la saya dengar briefing cum arahan la kan dari PA dia apa yang saya kena buat nak menyambut Tan Sri tu.

So berbalik pada citer jumpa Mazidul Akmal ni dalam dok kalut-kalut kami semua buat persiapan tiba-tiba tak silap saya lagi 5@6 hari nak perasmian dia terpacul kat kolej. Wah ramai yang terkejut apa dia buat dia nak masukkan kita dalam tv ke he he..biasa la kan orang TV3 mmg glamer. Rupa-rupanya Mazidul dapat menghidu majlis kami dan kehadiran ramai top VIP ke kolej ketika itu. Lebih-lebih lagi masa tu isu Al Maunah masih hot. Memang akan ada sidang akhbar punya lepas habis majlis sbb confirm wartawan nak korek2 lagi pasal kes tu.

So dia datang kolej round-round jumpa ngan semua orang bersembang ramah mesra tanya tentang majlis. Mmg kami tau ramai wartawan akan datang majlis tu nanti tp saya tgk Mazidul mmg komited. Maksud saya dia survey dulu keja dia nak buat. Orang lain datang hari kejadian tapi dia datang awal dan sudah mulakan hubungan yang baik dengan semua orang sebelum majlis berlangsung. Dia bukan datang sekali tetapi byk kali jugak dan yang buat kami terkejut dia tawarkan diri jadi pengacara majlis. Tapi tawaran tu sangatlah last minit nya. Saya rasa simpati dengan pengacara majlis sedia ada yang telah berlatih sejak dari awal. Dan tau-taulah Mazidul nama yang besar kegusaran saya adalah macam mana saya nak handle dia huhu. Masa tu saya speechless rasa diri terlalu kerdil. Kalau dengan rakan setugas sendiri boleh la saya cakap ko buat reheasal aku nak dengar sedap ke tak betul ke tak. Tapi Dato' CEO kolej pun dah suka beno dengan tawaran yang Mazidul bg tu so kami terima lah happy problem tu.

Tell you what...he is really professional maa... Dah bidang pengacaraan ni makanan dia. Kami bagi dia skrip tu kira cam guideline utk dia je lain tu dia bantai belasah sendiri dia je. Ada we all notice tersilap here n there tp dia  pandai cover. Dia jugak jemput rakan kami yg dah berlatih dari awal tu jadi pengacara bersama dengan dia. Wah saya tau kawan saya tu suka sangat la kan..giler ko dapat kongsi pentas sama ngan Mazidul Akmal Sidek.

So majlis berjalan dengan lancar. Semua happy. Panjang pulak citer saya belum habis lagi sbb ni bukan kali pertama dan terakhir saya jumpa Mazidul live. Nantilah next saya ceritakan pertemuan kedua kami ece ce..cam bagus ha ha

Monday, August 19, 2013

Resepi Acar Buah

Acar buah memang pembuka selera makan dengan nasi panas-panas sedappnya. Tapi nak buat acar buah ni mencari kedai yang jual buah-buah dia tu yang seksa. Biasa saya beli di Cowkit. Dulu-dulu harga sekilo buah-buah yang dah siap campur rm6 pastu naik rm7 skrg dah rm8. Kat tempat lain bukan takde tapi kadang dapat buah yang tak best warna tak menarik. Yang kat cowkit ni buahnya segar sebiji-sebiji warna pun menarik. 

Resepi acar buah ni saya dapat masa saya jump dari 1 blog ke 1 blog tapi mmg dah lupa betul empunya blog tu sapa. Minta maaf banyak-banyak takde niat nak plagiat cuma berkongsi resepi yang sedap moga pahala dan rahmatnya sampai ke tuan punya resepi. Tapi walaupun kawan saya Sar tu dah pesan jangan derhaka resepi saya suka jugak menderhaka. Bukan apa resepi asal dah mmg sedap saya tambah nak bagi lagi sedap he he..

So ni resepinya untuk 5kg acar buah.

Goreng tanpa minyak (sangai)  Ketumbar 30gram, Jintan manis 30 gram dan Jintan putih 30 gram. Saya tak timbang pun main pakai agak je. Lepas tu blend dan ayak taknak ayak pun boleh blend la halus2 lama2 sikit.

Cili kering 100gm
Bawang putih 15 biji - jangan mayang ni masuk je bulat-bulat gitu
Bawang merah 15 biji- ni pun sama jangan mayang
Halia
Minyak masak 11/2 kg - acar buah mmg byk pakai minyak resepi asal 2kg
Sos cili kimbal 11/2 kg
Cili api - ni memang takde dlm resepi asal agak-agakla jangan banyak sangat cili api ni pun masuk sebiji-sebiji macam tu tak perlu potong tak perlu ketuk
Gula 2 sudu besar - saya tambah lagi gula merah gula kabung ni yang buat rasa acar buah lagi kick
Garam secukup rasa

Cara-caranya
1. Tumis bawang putih bawang merah halia sampai naik bau masukkan cili kering. Tumis agak lama bagi masakkan cili tersebut. 
2. Masukkan ketumbar, jintan manis, jintan putih yang sudah diblender tadi.
3. Masukkan sos cili dan cili api tumis hingga naik bau pecah minyak
4. Masukkan buah-buah. Biarkan buah-buah masak sekata. Kacau dari masa ke semasa
5. Tambahkan garam gula secukup rasa.

Acar buah masak apabila kuah menjadi pekat dan kita nampak seperti terbit minyak dari campuran buah-buahan tersebut.

Bos tak suka pekerja tunjuk pandai??

Bila kita bekerja di bawah orang lain kadang-kadang ada keadaan jadi serba tak kena. Sebagai pekerja terutama kalau kita baru je dapat kerja tu mesti la kita ada rasa nak buktikan kita pun boleh buat sesuatu. Malah mungkin apa yang kita buat tu dapat menambah baik atau lebih baik dari keadaan asal. Itu yang kita rasa la kan. Tapi boss kita tu dia rasa ke apa yang kita rasa??

Saya ingat lagi masa saya mengajar kat sebuah "prebet school". Cikgu-cikgu taklah ramai tapi ada yang otai-otai yang dah lama kat situ. Yang muda-muda agak2 fresh macam saya ni ada la 3@4 orang. Jadi diorang dah biasa apa-apa program berjalan dengan cara yang sama dari dulu kini dan selamanya lah kot. 

Ada sekali tu pengetua sekolah panggil saya masuk bilik dia dan minta saya jalankan pertandingan kuiz sejarah sempena bulan kemerdekaan. Walaupun masih baru kat sekolah tu saya terima tanggungjawab tu. Lagi pun kat tempat kerja lama saya dulu saya pernah duduk bersama dengan team yang handle pertandingan kuiz state level even national level pun ada. So apalah sangat pertandingan kat sek je kan hik hik..

Pengetua bagi saya satu set macam kertas kerja ke apa ntah saya pun tak berapa ingat tapi bila saya belek2 baca saya cam tak puas hati dengan cara kuiz dijalankan. Tak berapa kemas format pembahagian soalan tak jelas, tak ada alat bantu mengajar yang digunakan untuk menarik perhatian, kaedah pemarkahan juga tidak diterangkan dengan teliti dan peraturan-peraturan kuiz sangat simple boleh mengundang bias. Kata cikgu-cikgu yang ada kat situ nanti sapa yang jadi juri diorang decide la nak  buat macam mana. Kata saya (dalam hati je la) amboi senangnya korang buat kuiz. Dah kalau garis panduan takde nanti juri-juri gaduh depan anak murid sapa yang malu.

So dengan berkobar-kobarnya saya pun merangka merombak apa yang saya rasa patut. Tak la saya buang semua apa yang pengetua bagi. Siap saya buatkan set-set soalan dan kaedah pemarkahannya. Detail jugak saya terangkan perjalanan kuiz dari mula sampai akhir. Termasuk jugak saya tunjukkan apa props yang saya pakai. Antaranya kipas tangan yg saya ubahsuai saya tampalkan markah yg diberi oleh juri ke atas setiap soalan yang di jawab oleh pelajar. Takdelah cikgu-cikgu kena bersuara bgtau berapa markah setiap kali pelajar jawab. Memadai angkat dan tunjukkan berapa markah dan markah akan dibaca oleh pengurusi majlis. Soalan-soalan pun saya rangka ada yang menggunakan overhead projector ada yang menggunakan rakaman suara semua tu untuk menarik minat pelajar. Maklum la sejarah subjek yang dry untuk pelajar terutama anak2 mat salleh celup kat prebet school ni kan pandang sebelah mata pun belum tentu.

Tapi tuan-tuan puan-puan tau apa jadi. Pengetua bengang ngan saya dia kata dia suruh saya conduct kuiz tu bukan ubah semuanya ikut suka hati saya huhu...Hancur hati ku jadi keping-keping ketika itu. Bila pengetua tak suka saya pun jadi serba salah. Tapi dia tak cakap direct ngan saya dia pi cakap ngan cikgu senior favorite dia tu. Nasib baik la cikgu senior ni bukan mami jarum punya orang. Cikgu ni bgtau kat pengetua pengalaman saya kat tempat kerja lama macam mana. Lepas tu ada la 2@3 kali pengetua panggil saya masuk bilik discuss lagi pasal kuiz ni. Saya pun tak pasti dia ni suka ke tak ngan apa yg saya buat tp dalam dok discuss2 tu mmg cam on la cara yang saya bagi tu.

Akhirnya on jugak la kuiz tu ikut cara yang saya cadangkan tu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar...cuma pengetua tak datang langsung tgk kuiz tu. Kecik hati saya tau tp saya fikir entah-entah dia tak sanggup nak tgk macam mana bestnya kuiz tu berbanding dulu kih kih kih...

Apapun sekarang bila dah kerja sendiri dan ada pekerja saya dapat rasakan apa perasaan menjadi boss (boss kecik la bukan boss besar he he). Saya bukan tak suka pekerja tunjuk pandai tapi saya tak suka@pantang saya pekerja memandai-mandai. Tapi kalau yang memang tabiat dia suka memandai-mandai ni memang tak serik la. Orang dah bagitau buat macam ni memandai-mandai buat kot lain hishhhh!!!

Resepi kuih Tako

Saya ada beberapa resepi yang saya sangat suka tapi dah hilang - memang sangat menyedihkan. Lebih-lebih lagi resepi yang hilang tu mmg kalau kita buat jadi sedap. Bila try resepi-resepi baru wpun bahan teknik lebih kurang sama tp tak boleh lawan dengan resepi yang dah hilang tu. Antaranya resepi kek batik, kek lapis asam dan kek lapis kaya. 

So saya rasa the best thing yang saya boleh buat adalah meletakkan resepi-resepi tu kat sini. Kalau takde orang nak baca pun sendiri baca he he..

Resepi kuih Tako ni saya dapat dr kakak yang menjual kuih. Dia setiap hari buat beribu-ribu biji kuih siap ada pembantu lagi. Yang kelakarnya saya kadang order kuih ni dari dia tp ada sekali tu dia kata alah akak tau ko pun boleh buat sendiri ambik la resepi ni bila-bila nak buat senang. Saya pun ibarat orang mengantuk di sorong bantal la kan. Dah tukang buat kuih offer resepi dia. Bukan senang nak dapat peluang ni. Lagipun saya kalau orang tu menjual saya macam tak gamak pulak nak minta resepi kat dia. Setengah orang dia akan berat hati nak bagi kan.

Resepinya mudah je cuma yang leceh nak buat acuan Tako tu sebab guna daun pandan. Kena buat satu-satu kuih ni pulak kecik comel mana cukup sikit kan. So ambik masa la nak buatnya.

Bahan-bahan lapisan bawah
1 cawan tepung jagung
8 cawan air
2 cawan gula - saya kurangkan skit tp kata kawan saya Sar kat blognya kalau buat camgini derhaka resepi namanya kih kih


Bahan-bahan lapisan atas
1 cawan lebih skit tepung jagung
9 cawan santan
garam sikit

Sukatan ni kita akan dapat lebih kurang 50 biji tako tapi bergantung jugak la besar kecik saiz acuan tako yang kita buat tu.

Cara-caranya
1. Campur semua bahan lapisan bawah dulu dan kacau atas api sampai masak.
2. Sebelum itu dalam setiap acuan masukkan sengkuang cina yang dah diracik-racik. Kalau taknak letak pun takpe sebab kadang susah nak jumpa sengkuang cina ni.
3. Kemudian tuang adunan yang sudah masak ke dalam acuan.
4. Selepas itu barulah kita masakkan pula lapisan atasnya dan tuang ke atas adunan pertama tadi. Dah siap mudah je kan.
 

What comes around goes around

..sama la jugak what U give U get back

saya tulis ni bukan la  nak ngata sesapa dah diri sendiri pun tak le sesempurna mana tapi dalam hidup kita ni cuba la kita berusaha untuk berbuat baik, menyenangkan orang lain dan tidak menyusah-nyusahkan, mensulit-sulitkan sesuatu yang pada asalnya mudah dan simple. 

Bukan apa kadang saya perhatikan ada orang suka merumit-rumitkan keadaan. Fikir itu ini buat begitu begini elok-elok benda tu boleh jadi dengan cepat dah huru-hara jadinya. Jalan lurus ada dah sah-sah elok senang dan memudahkan fikir-fikir jugak jalan menyusahkan. Kadang tu siap cakap takpe aku saje nak bg dia susah biar dia rasa sikit. Kalau tujuannya untuk mendidik tu lain ini mmg ada spesis manusia yang macam tu. Suka nak susahkan orang seronok bila apa yang dia buat tu menyusahkan orang lain. Saya banyak kali jugak jumpa dengan orang macam ni dan apa yang saya perhatikan mmg betul la what U give U get back. Hidup dia saya tengok rumit je. Macam-macam jadi kalau tak besar hal-hal kecil pun semuanya jadi rumit untuk dia. Saya tengok benda yang sama kat orang lain ok je tp kalau kat dia ada-ada je yang tak kenanya. Tabiat dia menyusah-nyusahkan keadaan tu balik kepada dia semula sebagaimana dia suka merumitkan keadaan orang lain sebegitu jugaklah Allah balas semula kepada dia.

Begitu jugak dengan orang yang berat hati untuk menolong orang lain. Percayalaah orang lain pun berat hati jugak untuk menolong kita. Kita hidup ni mmg tetap memerlukan orang lain jangan berlagak sombong la kata taknak pertolongan orang lain. Jadi jangan nak kedekut sangat dengan pertolongan. Tak semua pertolongan memerlukan duit tapi klu dah kedekut semua benda pun tak boleh - kedekut kudrat, nama dan pangkat. Jadi bila begini keadaannya dia minta tolong kat Allah pun Allah mungkin kedekut nak bagi pertolongan.

Cuma klu kita dah lakukan yang terbaik dalam hidup kita tetapi kita masih melalui jalan yang sukar itu mungkin ujian dari Allah untuk hambanya. Sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik dan bersangka baik lah dengan Allah kerana pasti ada ganjarannya di sisi Allah untuk hambanya yang bertakwa.

Thursday, August 15, 2013

Six sense

Kita semua tau Allah menganugerahkan kita deria keenam yang sangat istimewa. Anehnya deria ini kadang hadir tanpa kita duga, tanpa kita minta bahkan terkadang tanpa kita sedar. Hanya selepas ianya berlaku baru kita menyedari deria ini telah dapat menghidu sesuatu.

Lama dulu semasa zaman remaja, saya selalu mendapat petanda dari mimpi. Tapi sejujurnya saya tak pernah ambik pusing dengan mimpi saya itu. Saya tak pernah menceritakan kepada sesiapa pun tentang mimpi itu apatah lagi cuba memikirkan tafsirannya. Hanya selepas kejadian demi kejadian berlaku baru saya teringatkan mimpi saya itu. Sekadar teringat tidak lebih dari itu. Cuma saya terfikir mungkin Allah memberi kita peringatan untuk kita lebih bersedia dalam menghadapi hari-hari esok kehidupan kita.

Semasa di tingkatan enam saya bersahabat baik dengan 3 orang lagi rakan. Kami selalunya bersama ke mana-mana - makan, belajar bermain bersama. Pada satu malam saya bermimpi kami dalam perjalanan ke sekolah. Anehnya seorang daripada rakan kami itu tidak ada bersama kami. Kami berjalan seperti biasa dari asrama menuju ke sekolah. Sepanjang jalan saya melihat tisu bertaburan mengiringi perjalanan kami. Di pertengahan jalan kami bertemu dengan rakan yang seorang lagi berjalan bertentangan dengan kami. Dia berjalan sambil mengesat airmata dan mengutip satu persatu tisu yang ada di jalanan. Mimpi saya habis setakat itu sahaja. Dan setahun kemudian saya mendapat berita rakan kami tadi kehilangan kakak kesayangannya dalam kemalangan. Dia pengsan beberapa kali dihari pengkebumian kakaknya memandangkan mereka sangat akrab. Apabila menerima berita itu barulah saya teringat akan mimpi saya itu. Sehingga ke hari ini pun saya tidak pernah menceritakan berkenaan mimpi saya itu kepada rakan saya.

Saya juga pernah bermimpi sedang berada dalam sebuah majlis gilang gemilang seperti diraikan. Majlis di adakan dalam suasana tertutup dan saya tidak dapat melihat langsung pemandangan luar. Cuma ada beberapa lubang bulat bertingkap kaca yang mengizinkan pemandangan luar. Tiba-tiba saya terasa seperti ingin melihat apa yang ada di luar. Apabila saya merapati lubang tingkap tersebut saya dapat melihat rupa-rupanya tempat saya dikelilingi air. Sedang saya asyik melihat pemandangan saya dikejutkan oleh jeritan suara rakan saya sendiri. Saya melihat dia terkapai-kapai meminta pertolongan dan sedang berada di dalam air. Ramai rakan saya yang lain berada di belakang saya turut simpati dengannya. Tapi tidak ada apa yang dapat kami lakukan untuk membantu dia. Mimpi ini berlaku ketika saya hampir memperolehi keputusan STPM. Apabila keputusan diumumkan kelas saya yang hanya seramai 16 orang itu majoriti mendapat 5P hanya seorang yang mendapat 3P - dialah yang saya mimpi menjerit terkapai-kapai di dalam air. Dan saya tidak menjangka diumum pelajar terbaik untuk daerah saya sekaligus membolehkan saya meraih anugerah yang disampaikan oleh Dato Seri Rafidah Aziz ketika itu. Ya memang saya diraikan dalam satu majlis dan beritanya disiarkan dalam teleivisyen sama seperti dalam mimpi saya tetapi rakan saya dalam kesedihan :(

Sewaktu di universiti saya masih lagi mengalami mimpi-mimpi petanda. Saya bermimpi melihat banjir besar dan ternampak rakan saya berhempas pulas mendayung sampan sedangkan saya berdiri dengan selamat di dalam air. Di penghujung semester rakan saya terkandas di dalam pelajarannya dan perlu mengulangi semula kertas yang didudukinya. Seorang rakan pernah berkata kepada saya jika kita bermimpi perkara yang buruk tidak perlulah kita bercerita tentang mimpi itu kepada orang lain. Berpegang kepada kata-katanya itu saya mmg tidak pernah bercerita tentang mimpi saya.

Sewaktu di alam pekerjaan ada seorang ustaz di tempat kerja yang memiliki buku tafsir mimpi. Dari situ buat pertama kalinya saya membaca berkenaan mimpi dan tafsirnya. Ketika itu suami saya baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Memang pendapatan agak kencang jugak lah :)..Saya bermimpi melihat roti yang sedang dipanggang. Lazimnya jika saya bermimpi tentang makanan saya akan mendapat rezeki. Tetapi kali ini menurut buku yang saya baca melihat roti dipanggang membawa maksud akan mengalami kesempitan hidup dalam tempoh yang agak lama. Saya sekadar membaca tetapi tidak ambil pusing@serius dengan apa yang saya baca. Kuasa Allah memang suami hilang job bisnesnya selama 8 bulan..satu tempoh yang amat panjang bagi kami yg baru nak berjinak dalam dunia perniagaan. Mujur saya bekerja dan ada gaji ketika itu.

Sememangnya terlalu banyak mimpi yang saya alami sehingga kadang kala menakutkan diri saya. Saya bermimpi melihat rumah seorang rakan runtuh dan dia dibawa keluar oleh seorang perempuan. Rakan saya rupa-rupanya mempunyai masalah rumahtangga dengan suaminya. Seorang rakan ditempat kerja menyatakan pada saya mungkin mimpi-mimpi yang tidak elok menjadi peringatan untuk saya agar lebih berhati-hati. 

Sekarang saya tidak lagi mengalami mimpi-mimpi yang simbolik. Mungkin kualiti tidur sudah kurang. Pukul 2.30 pagi masih lagi mengadap blog ha ha. Tetapi biasanya jika saya teringatkan seseorang saya tau mungkin ada sesuatu yang telah berlaku padanya. Setiap kali itu berlaku saya tak putus mendoakan semoga perkara yang baik-baik berlaku terhadap mereka yang saya terlintas di fikiran saya...amin.

Buffet Ramadhan- RM29++, RM59++, RM99++ mana satu jadi pilihan

Orang dah beraya saya baru nak tulis pasal ramadhan. Bukan apa bulan ramadhan memang sibuk skit dengan aktiviti lain. Nak menulis isu ada tapi masa takde. So dah tenang-tenang puasa sudah raya sudah baru ada masa untuk menulis. Perkara pertama terlintas memang tentang budaya buffet ramadhan.
 
Saban tahun dah semakin menjadi trend kat Msia ni buka puasa di hotel-hotel ataupun restoren. Dengan pilihan menu yang pelbagai siapkan duit je lepas tu tau-tau perut sengkak.

Memanglah kata orang ada duit pilih je lah yang mana berkenan di poket. Lagi mahal lagi banyak pilihan makanannya. Beratus-ratus menu dari makanan utama hinggalah ke pencuci mulut dan juga air tak ketinggalan kambing golek. Melilau mata mengelupur tangan ambik itu ini tak sedar penuh semeja makanan- makan belum tentu habis.

Saya ngan suami ada la setiap tahun bawa anak-anak berbuka puasa di luar dah cuba pelbagai harga dah cuba pelbagai hotel. Memang time lapar tu aduhai semua benda depan mata nak ambik buffet la katakan lagipun dlm hati kata aku bayar mahal ni. Tapi bila umur dah makin menginjak ni saya cuba fikir waras sikit (wah selama hari ni tak waras la aku ni ha ha). Ambik yang patut-patut je dalam kuantiti yang sikit dah kalau nak merasa semua. Cuma tang air tu saya memang tak boleh nak tahan memang nak kena ambik banyak. Biar la suami saya nak kata apa dah memang saya ni buka posa air setangki ha ha.

Bila dah try pelbagai range harga dan hotel saya dapat rasakan yang mana sesuai menjadi pilihan- ni pandangan sendiri la orang lain tu mgkin berbeza-beza ikut citarasa masing-masing. Harga RM99++ tu mmg gah la tgk la hotelnya sekali kan berapa star. Rasa cam kita dikelilingi lautan makanan pusing kiri makanan pusing kanan makanan depan belakang semua makanan lah. Nak makan apa melayu barat cina india jepun jawa mamak keling arab semua ada. Tapi boleh makan@rasa ke semua tu sempat ke larat ke? Yang kita bayar mahal2 tu tak lebih untuk santapan mata je. Berapa percent je dari nilai yang kita bayar tu akhirnya masuk ke anak tekak kita. Tak terdaya derr. Saya sampai sekarang masih ingat time berbuka puasa kat hotel RM100++ tu ada buffet lane yang saya sekadar lalu je betul2 cuci mata dah tak larat nak ambik makanan lagi dah. Bila dah tak larat timbul rasa ralat aku bayar mahal ni tapi bukan untuk santapan perut santapan mata je. Lagi satu yang buat mahal sangat tu sebab sambil berbuka kita dihiburkan dengan artis jemputan. Biasa la hotel byk star akan ambik artis yang ngetop skit kan so kita pun ngetop jugak la membayarnya.

Tahun ni buat pertama kali saya cuba buffet ramadhan RM29++. Mula-mula saya cuak jugak sebab tak pernah try. Memang la ada dinyatakan menunya tapi macam-macam bermain di kepala takut makanan tak cukup la servis tak bagus atau sekadar indah khabar dari rupa. Then bila dah try not bad jugak la. Orang kata berpadanan dengan harganya. Ada menu kambing tp bukan kambing golek lah saya pasti sangat tu kambing frozen sbb geng jiran2 saya rajin panggang kambing. Lagipun mula-mula tu saya wonder camne la restoren ni boleh sediakan kambing golek mahal tu sedangkan harga dia charge murah. Ada menu nasi putih dengan pelbagai deretan lauk pauk kuih muih, roti canai murtabak, kuehteow, mee goreng, nasi ayam dan abc lagi tu tak ketinggalan air berjenis-jenis termasuk teh tarik..nah nak apa lagi padan la ngan harganya tu kan. Cuma bila fikir-fikir balik lebih kurang ngan menu bazar ramadhan. Bezanya bazar ramadhan kita beli semua tu bawa balik makan. Yang ni kita makan di luar - for the sake of berbuka puasa di luar. Boring la jgk kan buka posa kat rumah je sesekali nak jugak tukar angin kata orang.

Pada saya makan di hotel yang pertengahan tak murah dan tak mahal ni range rm50-rm70 berbaloi dan sesuai ngan apa yang kita bayar. Memang menu banyak dan pelbagai tetapi tak la semelimpah yang rm99++ tu. Ada artis tapi taklah pihak hotel ambik artis yang ngetop sangat. So saya rasa just nice lah. Memang tak rasa rugi@ralat sangat. Saya pun takla buat catwalk je kat buffet lane tu hihi.

Apa-apapun kat mana kita makan apa kita makan jangan lupa bersyukur dengan nikmat yang kita dapat. Sememangnya orang yang berpuasa akan mendapat 2 kegembiraan pertama ketika ia berbuka dan kedua ketika bertemu tuhannya..