Kita semua tau Allah menganugerahkan kita deria keenam yang sangat istimewa. Anehnya deria ini kadang hadir tanpa kita duga, tanpa kita minta bahkan terkadang tanpa kita sedar. Hanya selepas ianya berlaku baru kita menyedari deria ini telah dapat menghidu sesuatu.
Lama dulu semasa zaman remaja, saya selalu mendapat petanda dari mimpi. Tapi sejujurnya saya tak pernah ambik pusing dengan mimpi saya itu. Saya tak pernah menceritakan kepada sesiapa pun tentang mimpi itu apatah lagi cuba memikirkan tafsirannya. Hanya selepas kejadian demi kejadian berlaku baru saya teringatkan mimpi saya itu. Sekadar teringat tidak lebih dari itu. Cuma saya terfikir mungkin Allah memberi kita peringatan untuk kita lebih bersedia dalam menghadapi hari-hari esok kehidupan kita.
Semasa di tingkatan enam saya bersahabat baik dengan 3 orang lagi rakan. Kami selalunya bersama ke mana-mana - makan, belajar bermain bersama. Pada satu malam saya bermimpi kami dalam perjalanan ke sekolah. Anehnya seorang daripada rakan kami itu tidak ada bersama kami. Kami berjalan seperti biasa dari asrama menuju ke sekolah. Sepanjang jalan saya melihat tisu bertaburan mengiringi perjalanan kami. Di pertengahan jalan kami bertemu dengan rakan yang seorang lagi berjalan bertentangan dengan kami. Dia berjalan sambil mengesat airmata dan mengutip satu persatu tisu yang ada di jalanan. Mimpi saya habis setakat itu sahaja. Dan setahun kemudian saya mendapat berita rakan kami tadi kehilangan kakak kesayangannya dalam kemalangan. Dia pengsan beberapa kali dihari pengkebumian kakaknya memandangkan mereka sangat akrab. Apabila menerima berita itu barulah saya teringat akan mimpi saya itu. Sehingga ke hari ini pun saya tidak pernah menceritakan berkenaan mimpi saya itu kepada rakan saya.
Saya juga pernah bermimpi sedang berada dalam sebuah majlis gilang gemilang seperti diraikan. Majlis di adakan dalam suasana tertutup dan saya tidak dapat melihat langsung pemandangan luar. Cuma ada beberapa lubang bulat bertingkap kaca yang mengizinkan pemandangan luar. Tiba-tiba saya terasa seperti ingin melihat apa yang ada di luar. Apabila saya merapati lubang tingkap tersebut saya dapat melihat rupa-rupanya tempat saya dikelilingi air. Sedang saya asyik melihat pemandangan saya dikejutkan oleh jeritan suara rakan saya sendiri. Saya melihat dia terkapai-kapai meminta pertolongan dan sedang berada di dalam air. Ramai rakan saya yang lain berada di belakang saya turut simpati dengannya. Tapi tidak ada apa yang dapat kami lakukan untuk membantu dia. Mimpi ini berlaku ketika saya hampir memperolehi keputusan STPM. Apabila keputusan diumumkan kelas saya yang hanya seramai 16 orang itu majoriti mendapat 5P hanya seorang yang mendapat 3P - dialah yang saya mimpi menjerit terkapai-kapai di dalam air. Dan saya tidak menjangka diumum pelajar terbaik untuk daerah saya sekaligus membolehkan saya meraih anugerah yang disampaikan oleh Dato Seri Rafidah Aziz ketika itu. Ya memang saya diraikan dalam satu majlis dan beritanya disiarkan dalam teleivisyen sama seperti dalam mimpi saya tetapi rakan saya dalam kesedihan :(
Sewaktu di universiti saya masih lagi mengalami mimpi-mimpi petanda. Saya bermimpi melihat banjir besar dan ternampak rakan saya berhempas pulas mendayung sampan sedangkan saya berdiri dengan selamat di dalam air. Di penghujung semester rakan saya terkandas di dalam pelajarannya dan perlu mengulangi semula kertas yang didudukinya. Seorang rakan pernah berkata kepada saya jika kita bermimpi perkara yang buruk tidak perlulah kita bercerita tentang mimpi itu kepada orang lain. Berpegang kepada kata-katanya itu saya mmg tidak pernah bercerita tentang mimpi saya.
Sewaktu di alam pekerjaan ada seorang ustaz di tempat kerja yang memiliki buku tafsir mimpi. Dari situ buat pertama kalinya saya membaca berkenaan mimpi dan tafsirnya. Ketika itu suami saya baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Memang pendapatan agak kencang jugak lah :)..Saya bermimpi melihat roti yang sedang dipanggang. Lazimnya jika saya bermimpi tentang makanan saya akan mendapat rezeki. Tetapi kali ini menurut buku yang saya baca melihat roti dipanggang membawa maksud akan mengalami kesempitan hidup dalam tempoh yang agak lama. Saya sekadar membaca tetapi tidak ambil pusing@serius dengan apa yang saya baca. Kuasa Allah memang suami hilang job bisnesnya selama 8 bulan..satu tempoh yang amat panjang bagi kami yg baru nak berjinak dalam dunia perniagaan. Mujur saya bekerja dan ada gaji ketika itu.
Sememangnya terlalu banyak mimpi yang saya alami sehingga kadang kala menakutkan diri saya. Saya bermimpi melihat rumah seorang rakan runtuh dan dia dibawa keluar oleh seorang perempuan. Rakan saya rupa-rupanya mempunyai masalah rumahtangga dengan suaminya. Seorang rakan ditempat kerja menyatakan pada saya mungkin mimpi-mimpi yang tidak elok menjadi peringatan untuk saya agar lebih berhati-hati.
Sekarang saya tidak lagi mengalami mimpi-mimpi yang simbolik. Mungkin kualiti tidur sudah kurang. Pukul 2.30 pagi masih lagi mengadap blog ha ha. Tetapi biasanya jika saya teringatkan seseorang saya tau mungkin ada sesuatu yang telah berlaku padanya. Setiap kali itu berlaku saya tak putus mendoakan semoga perkara yang baik-baik berlaku terhadap mereka yang saya terlintas di fikiran saya...amin.
No comments:
Post a Comment